Friday, January 23, 2009

buat pejuang Islam

misi

Ada yang marah-marah, ada yang menyokong dan macam-macam lagi respon saya terima daripada komen mahupun sewaktu chatting selepas menulis entri ‘PRK: Siapa Betul’ itu.

Untuk yang menyokong, saya sekadar mahu membetulkan kesilapan jika ada salah faham. Tujuan entri tersebut ditulis bukan untuk mengajak orang memboikot pihak SRC pada tahun ini. Tidak sama sekali.

Tujuannya tidak lebih hanya sebagai bahan bacaan umum supaya semua manusia boleh menilai mana baik dan mana buruk. Dan membetulkan mentaliti para penggerak mahasiswa kita yang selalu berfikir, “Aku baik, mereka jahat. Jadi, setiap perbuatan mereka adalah salah.”

Untuk yang marah-marah, terpulanglah kepada anda untuk menentukan apa yang anda ingin buat. Apa yang saya boleh buat hanya menulis dan menyampaikan sahaja. Dan entri itu sudah diemelkan kepada pihak yang berkaitan.

Ada beberapa perkara ingin saya sentuh kali ini. Entri kali ini saya tulis dengan tujuan semua aktivis mahasiswa merenung kembali motto atau visi yang telah mereka tetapkan dalam gerakan mereka.

2 Memo Buat Para Aktivis Dakwah

Saya tidak mahu sentuh banyak. Hanya dua perkara saja saya sentuh kali ini.

Pertamanya, definisikan tujuan gerakan anda. Tujuan yang hendak dicapai oleh seorang aktivis atau pendakwah harus jelas tergambar di depan matanya, iaitu untuk menegakkan agama Islam.

Jadi, kenal pasti semula semua perkara yang gerakan anda telah tetapkan pada masa lalu dari sudut motto, visi, misi atau apa-apa sahaja. Saya pasti tujuannya adalah untuk menegakkan Islam.

Apabila sudah tetap tujuan untuk menegakkan Islam, kalau tidak menang pilihanraya sekalipun sepatutnya tidak perlulah rasa bimbang, risau dan apa-apa lagi. Apa yang perlu dirisaukan dan difikirkan adalah bagaimana hendak mengajak orang ke arah Islam.

Secara tidak langsung kalau anda betul-betul jelas dengan apa yang ingin anda bawa, saya rasa pasti tidak ada lagi poster atau tulisan-tulisan berbentuk memburuk-burukkan orang lain, dakwa-dakwi dan sebagainya.

Apa salahnya jika duit untuk anda photocopy poster tersebut, anda buat risalah yang mengajak orang beramal atau risalah tentang Islam. Ambil sahaja entri daripada blog Saiful Islam pun boleh. Asalkan disertakan nama alamat www.saifulislam.com pada artikel tersebut.

Saya rasa itu lebih berbaloi kalau betul-betul tujuannya untuk menyampaikan Islam.

Keduanya, tidak merasa diri terlalu sempurna. Seharusnya seorang pemimpin dan pendakwah pada zaman ini masih lagi merasakan dirinya ada kelemahan walaupun sedang berdepan dengan orang yang difikirkannya tidak betul(mat rempit dsb).

Semalam saya sempat membelek-belek buku tulisan Fathi Yakan bertajuk ‘Robohnya Islam di Tangan Da’ie. Dalam bukunya ada menyebut tentang pendirian beliau yang tidak bersetuju dengan bilangan jemaah yang terlalu banyak.

Tetapi, ada tetapinya. Beliau merasakan memang ada baiknya pertumbuhan bilangan jemaah yang banyak cuma beliau merasakan apa yang diharapkannya tidak berlaku.

Apa yang beliau tidak bersetuju, antaranya kerana terjadi sifat saling mencemuh satu sama lain, berlakunya seperti apa yang saya katakan, “Jemaah aku yang betul, maka jemaah dia salah.” Atau “Jemaah aku betul-betul mengikut apa yang digagaskan oleh Ikhwanul Muslimin tetapi jemaah mereka itu entah apa-apa saja.”

Maksudnya di sini, kalau perkara seperti di atas ini tidak berlaku maka bilangan jemaah yang ingin membawa nama Islam bertambah pasti akan dapat mengindahkan lagi suasana Islam.

Saya ingin bertanya kepada anda, kalaulah kita mahu menetapkan hanya satu jemaah sahaja yang wujud, mahukah jemaah andalah yang terpaksa dilenyapkan?

Kerana apa yang pasti kalau hanya ingin satu jemaah sahaja yang wujud, maka jemaah lain perlulah dihapuskan terlebih dahulu. Anda mahu?

Teringat saya kenangan sewaktu sekolah dulu, pernah saya dimarah teruk oleh seorang senior hanya kerana bercakap sesuatu perkara di dalam surau. “Enta ni suka sangat bercakap perkara lagho!”

Semasa itu saya bukanlah bercakap perkara yang bukan-bukan sangat pun. Cuma beberapa hari lepas saya bertembung dengannya yang sedang berjalan berdua-duaan dengan perempuan. Hurm…..

Kes ini bukan kes yang pertama, malah ramai lagi. Kerana itulah saya katakan semua orang tidaklah sempurna. Kalau hendak marah orang sekalipun, bukan dengan cara mengherdik. Berdakwahlah sehalus mungkin seperti Nabi Muhammad.

Kesimpulan

Seorang pendakwah atau pemimpin sekalipun perlulah meneliti dua perkara asas yang saya tulis di atas. Janganlah seseorang itu merasa dirinya terlalu perfect sampai menidakkan pendapat orang lain.

Dan janganlah merasa diri itu terlalu baik dengan hanya memakai kopiah, jubah dan sebagainya manakala orang yang memakai seluar jeans atau berambut panjang itu orang jahat.

Pengalaman saya sendiri semasa dalam program bersama mat rempit melihat bahawa pendapat mereka juga berguna dan ada manfaatnya. Ada waktu dan ketikanya kita bukanlah sehebat yang kita sangka. Dan bukanlah sangat baik berbanding orang yang kita kategori sebagai remaja bermasalah.

Percayalah, diri anda bukanlah orang yang sempurna. Samalah seperti saya dan juga orang lain. Setiap orang ada kelemahannya.

Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.

No comments:

Post a Comment